Seorang lelaki meninggal dunia, dan dua lagi dimasukkan ke hospital berikutan kejadian tembakan di sebuah hartanah di timur Australia pada petang Rabu, menurut laporan Xinhua.
Polis di negeri New South Wales (NSW) dilapor berkata dalam satu kenyataan, perkhidmatan kecemasan telah dimaklumkan mengenai kejadian tembakan di pekan kecil Eungella, lebih 640 km timur laut Sydney dekat sempadan dengan negeri Queensland, sekitar 1:25 tengah hari waktu tempatan pada Rabu.
Pegawai tiba dan diberitahu bahawa dua lelaki, berusia 38 dan 41, telah ditembak oleh lelaki lain yang kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian bersama lelaki keempat.
Lelaki berusia 41 tahun itu dirawat oleh paramedik ambulans tetapi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki berusia 38 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital kerana luka tembak.
Perkhidmatan kecemasan kemudian dipanggil untuk kejadian kedua yang berhampiran selepas seorang lelaki berusia 45 tahun dilanggar sebuah kereta. Dia dibawa ke hospital di bawah kawalan polis.
Polis NSW dilapor berkata, pegawai sedang menunggu untuk bercakap dengan dua lelaki yang dimasukkan ke hospital untuk menentukan keadaan bagaimana kedua-duanya cedera dan juga sedang berusaha mencari lelaki keempat, dipercayai berusia 37 tahun.























