Hukuman mati (qisas) dijalankan pada Selasa ke atas seorang lelaki bernama “Mangal” di stadium bola sepak di wilayah Khost, dengan dihadiri ribuan orang, lapor Tolonews.
Menurut Tolonews, lelaki terbabit dikenal pasti sebagai tertuduh dalam kes daerah Ali Shir dan Tirazayi; kejadian sepuluh bulan lalu di mana 13 ahli keluarga, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh akibat tembakan.
Penduduk Khost menyambut baik pelaksanaan hukuman mati (qisas) itu, menurutnya.
Sesetengah mereka, menekankan kepentingan menguatkuasakan ketetapan syariah, mengatakan bahawa melaksanakan hukuman itu boleh membantu mencegah pembunuhan dan jenayah lain.
Mereka menyeru pihak berkuasa untuk mengenakan hukuman syariah kepada pesalah lain juga, menurut Tolonews.
Alim Gul Mangal, yang menyaksikan hukuman mati itu, dilapor berkata: “Mereka membawa pembunuh itu ke hadapan semua orang. Doktor datang dan mengikuti prosedur mereka. Kemudian pengadu tiba dan, mengikut apa yang dibenarkan syariah, menembaknya.”
Bakhtawar Khan, seorang penduduk Khost, dilapor berkata: “Permintaan kami dari Emirat Islam adalah untuk terus melaksanakan qisas ke atas pencuri dan pembunuh dan untuk melaksanakan ketetapan syariah ini supaya orang lain tidak membunuh orang yang tidak bersalah atau melakukan jenayah lain dalam masyarakat.”
Musa Jan, seorang lagi penduduk, dilapor berkata: “Qisas dan ketetapan syariah mesti diterapkan secara sama rata kepada semua orang supaya orang lain mengambil pengajaran daripadanya.”
Menurut Tolonews, Mahkamah Agung sementara itu dalam satu kenyataan berkata hukuman qisas juga telah dikeluarkan ke atas dua anak lelaki Mangal atas dakwaan mereka terlibat dalam insiden Ali Shir dan Tirazayi; bagaimanapun, kerana ketua keluarga mangsa berada di luar negara, pelaksanaan hukuman mereka telah ditangguhkan.
DEFINISI
Qisas – hukuman bunuh balas























