Poland melancarkan operasi khas untuk melindungi infrastruktur kereta api dan jalan raya yang kritikal berikutan sabotaj baru-baru ini di laluan kereta api utama, berita Xinhua memetik laporan media Poland.
Presiden Poland Karol Nawrocki dilaporkan menandatangani perintah petang Khamis membenarkan Operasi Horizon, yang melibatkan sehingga 10,000 tentera dari pelbagai cawangan, termasuk Pasukan Pertahanan Wilayah, Pasukan Khas, Pertahanan Siber, kejuruteraan dan unit dron.
Misi itu diumumkan sebagai tindak balas kepada sabotaj kereta api baru-baru ini yang didakwa dilakukan oleh dua warga Ukraine yang bekerjasama dengan perisikan Rusia, menurut media tempatan, lapor Xinhua.
Perdana Menteri Poland Donald Tusk mengumumkan pada Selasa, tahap amaran di beberapa bahagian rangkaian kereta api negara itu akan dinaikkan kepada “Charlie” sebutan kedua tertinggi.























