Tiga orang maut dan 56 yang lain diselamatkan selepas sebuah bot pendatang terbalik di luar pulau Gavdos di selatan Greece pada Selasa, lapor Xinhua memetik penyiar ERT.
Pengawal Pantai Hellenic dilapor berkata, operasi mencari dan menyelamat berskala besar sedang dijalankan dalam keadaan cuaca buruk untuk mencari kemungkinan orang hilang.
Mangsa yang terselamat tidak dapat mengesahkan berapa ramai orang yang berada di dalamnya ketika bot itu karam.
Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex) dilaporkan sedang membantu pihak berkuasa Greece dalam operasi yang sedang dijalankan.
Kewarganegaraan mangsa dan mangsa yang terselamat masih belum disahkan, menurut laporan Xinhua.
Gavdos, di selatan pulau Crete, terletak dekat laluan yang sering digunakan oleh pendatang yang cuba sampai ke Eropah dari Afrika Utara.
Greece telah menjadi salah satu pintu masuk utama bagi pendatang tanpa izin dan pelarian ke Kesatuan Eropah (EU) sejak 2015, apabila lebih daripada 1 juta orang melintasi sempadannya, terutama dari Turki.
Selama bertahun-tahun, beratus-ratus orang telah kehilangan nyawa mereka di Laut Mediterranean ketika cuba sampai ke Eropah dengan bot yang tidak layak belayar, mendorong seruan berulang kali daripada organisasi kemanusiaan bagi penyelarasan menyelamat yang lebih kukuh dan laluan migrasi lebih selamat.
















































