Serangan udara dan tembakan artileri Israel membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan menyebabkan beberapa orang lain cedera atau hilang di seluruh daerah Nabatieh di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Menurut Al Jazeera, agensi itu menyifatkan pengeboman semalaman itu sebagai satu daripada serangan Israel paling sengit di kawasan itu, dengan banyak rumah disasarkan selepas tengah malam.
Tembakan artileri Israel dilaporkan di bandar Nabatieh, serta di Kfar Jouz dan beberapa pekan sekitarnya, termasuk Kfar Reman dan Zebdine, Al Jazeera memetik NNA.
Gelombang serangan udara kemudiannya dilaporkan turut melanda Kfar Tibnit dan Rayhan Heights.
Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh di Nabatieh dan Harouf, Al Jazeera memetik laporan agensi itu, empat orang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah rumah di antara Al-Sharqiya dan Doueir, manakala serangan di pekan Kfar Sir membunuh tiga orang.
Seorang dilaporkan terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan dron Israel yang melanda sebuah motosikal dekat bangunan perbandaran Doueir.



























