Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud yang melanda wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia pada Selasa menyebabkan seorang maut dan menjejaskan lebih 300 penduduk, menurut berita Xinhua memetik Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Sehingga jam 7 malam waktu tempatan pada Selasa, sekurang-kurangnya 25 orang mengalami kecederaan ringan dan 13 yang lain cedera parah, dengan kira-kira 110 isi rumah atau 312 individu terjejas di pelbagai daerah, lapor Xinhua memetik agensi itu.
Penilaian awal mencatatkan sekurang-kurangnya 67 unit kediaman rosak, enam rumah ibadat, dua jambatan, dua bangunan pejabat dan jalan wilayah yang menghubungkan Palu, Sigi dan Poso yang sebahagiannya runtuh.
Pihak berkuasa telah melancarkan operasi tindak balas kecemasan.



























