Tiga orang terbunuh dan tiga yang lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun, cedera dalam serangan dron semalaman di kawasan perumahan di daerah bandar Tula di selatan Moscow, kata Gabenor wilayah Tula, Dmitry Milyaev, awal Isnin, menurut berita Xinhua.
“Mangsa sedang menerima bantuan perubatan yang diperlukan,” Milyaev dilapor sebagai berkata dalam catatan media sosial.
Beberapa rumah persendirian dan hartanah komersial di kampung di Yamny, Maslovo, Mikhalkovo dan Inshinsky mengalami pelbagai tahap kerosakan, dia dilapor berkata.
Pada Ahad, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata pasukan Ukraine menyerang beberapa kemudahan “penting” di Rusia, menurut Xinhua.
Antara sasaran itu ialah sebuah kemudahan minyak di wilayah Yaroslavl di tengah Rusia, yang penting untuk rizab minyak Rusia, dan loji kimia Azot di wilayah Tula, sebuah kemudahan pengeluaran bahan letupan utama di Rusia, menurut Zelensky di X.
Kementerian Pertahanan Rusia dilapor berkata pada Ahad, pasukan pertahanan udara negara itu menembak jatuh 483 dron Ukraine dan 14 bom udara berpandu sepanjang 24 jam sebelumnya.
Menurut Xinhua, kebanyakan wilayah Ukraine berada di bawah amaran serangan udara pada awal pagi Isnin ketika kedua-dua negara terus berbalas serangan.
Lima pekerja penyelamat Ukraine terbunuh di bandar Kharkiv di timur laut dan empat yang lain meninggal dunia di ibu negara Kiev susulan serangan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine, kata pihak berkuasa Ukraine pada Isnin, lapor Xinhua.



























