Sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh, 17 hilang dan 487 cedera selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda pantai selatan Mindanao, Filipina, pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik Majlis Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Rabu.
NDRRMC dilapor berkata, gempa bumi itu menjejaskan lebih 33,000 isi rumah, atau hampir 150,000 orang, dan lebih 41,000 penduduk yang terjejas telah kehilangan tempat tinggal.
Dari segi kerosakan harta benda, sejumlah 238 kemudahan infrastruktur, termasuk hospital, sekolah dan jambatan, telah rosak, bersama-sama dengan hampir 3,000 rumah.
Menurut majlis itu, lapor Xinhua, gegaran itu dirasai di kebanyakan Mindanao dan bahagian tengah Filipina, dan lebih 1,700 gegaran susulan telah direkodkan sejak gegaran utama.
Operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas masih berterusan.
Kawasan paling terjejas dari segi korban jiwa, perpindahan, dan kerosakan rumah serta infrastruktur adalah wilayah Sarangani dan Cotabato Selatan, termasuk bandar General Santos, dengan populasi kira-kira 700,000 orang, kata NDRRMC, sambil menambah bahawa kematian disebabkan oleh tanah runtuh dicetuskan oleh gempa bumi, lemas, dan kecederaan akibat runtuhan atau serpihan jatuh.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina berkata gempa bumi tektonik itu berlaku pada jam 7:37 pagi waktu tempatan pada kedalaman 33 km, dengan pusat gempa 32 km barat daya pantai bandar Maasim di wilayah Sarangani di Pulau Mindanao, lapor Xinhua.



























