Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam serangan oleh penyamun bersenjata di sebuah kampung terpencil di wilayah barat Zambia, kata polis lewat Sabtu, menurut berita Xinhua.
Seorang mengalami kecederaan kepala manakala tiga yang lain melecur semasa serangan itu, yang berlaku pada awal pagi Sabtu ketika penyerang membakar kampung itu, kata Pesuruhjaya Polis Wilayah Rae Haamonga dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sejumlah penyamun yang tidak diketahui bersenjatakan senjata serangan menyerang kampung itu dan membakar lima buah rumah bersama-sama harta benda, yang hangus menjadi abu.
“Akibat serangan itu, tujuh orang kehilangan nyawa secara tragis. Enam mangsa dipercayai meninggal dunia dalam kebakaran itu, manakala seorang bayi didakwa dibunuh dengan tukul,” katanya.



























