Pasukan tentera Israel melancarkan pencerobohan tentera baharu ke Quneitra di barat daya Syria pada Selasa, dalam pelanggaran terbaru kedaulatan negara itu, lapor Anadolu.
Empat kenderaan tentera mara ke kampung al-Mushrifah di kawasan luar bandar Quneitra, Anadolu memetik laporan Agensi Berita Arab Syria (SANA) dikendalikan kerajaan.
Serbuan rentas sempadan itu dilaporkan berlaku sejurus selepas tiga kenderaan tentera bergerak ke kampung al-Samadaniyah al-Sharqiyah di selatan Syria.
Dilaporkan, pencerobohan Israel di Quneitra baru-baru ini semakin meningkat, dengan penduduk tempatan mengadu mengenai kemaraan Tel Aviv ke tanah ladang mereka serta pemusnahan ratusan ekar hutan, penangkapan penduduk, dan penubuhan pusat pemeriksaan tentera.
Presiden Syria Ahmad al-Sharaa sebelum ini dilapor berkata, tentera Israel telah melakukan lebih daripada 1,000 serangan udara dan lebih 400 pencerobohan sejak penggulingan rejim Assad pada 8 Disember 2024.
























