Tiga orang, termasuk suspek lelaki bersenjata, maut dalam insiden tembakan di tengah Bosnia dan Herzegovina (BiH) pada Isnin, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Penembakan itu berlaku di perbandaran Kiseljak, kira-kira 40 km barat laut ibu kota BiH, Sarajevo, menurut Kementerian Dalam Negeri Canton Bosnia Tengah.
Polis dilapor berkata, seorang suspek berusia 54 tahun menggunakan senjata api terhadap dua ahli keluarga terdekat. Seorang mangsa, lahir pada tahun 1947, meninggal dunia di tempat kejadian, dan seorang lagi, lahir pada tahun 1971, mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di hospital, kata pihak berkuasa.
Xinhua melaporkan, menurut saluran media tempatan Dnevni Avaz, suspek, selepas ditemui dan dikepung oleh polis, cuba membunuh diri dan kemudian meninggal dunia di Pusat Klinik Universiti Sarajevo akibat kecederaannya.




























