Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam serangan dron semalaman oleh tentera Ukraine ke atas bandar Khimki dan Mytishchi di wilayah Moscow, kata gabenor wilayah Andrei Vorobyov pada Ahad, lapor Xinhua.
“Di Khimki, seorang wanita terbunuh apabila sebuah UAV (kenderaan udara tanpa pemandu) melanda sebuah rumah persendirian. Seorang lagi masih terperangkap di bawah runtuhan. Dua lelaki maut di kampung Pogorelki (di Mytishchi). Di sana, serpihan dron melanda sebuah rumah yang sedang dibina,” kata gabenor di platform media sosial Max, lapor Xinhua.
Vorobyov juga dilapor berkata, serangan dron merosakkan sebuah bangunan pangsapuri di bandar Istra dan menjejaskan enam rumah persendirian di kampung Agrogorodok, menyebabkan empat orang cedera.
Dilaporkan, pada malam Sabtu, beberapa pekerja pembinaan cedera, dan empat bangunan kediaman rosak akibat serangan dron ke atas Loji Penapisan Moscow.
Menurut Xinhua, Datuk Bandar Moscow Sergei Sobyanin berkata di Max, menurut data awal, 12 orang cedera, sambil menambah bahawa operasi loji itu tidak terganggu.
Dia juga dilapor berkata, bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, 120 dron Ukraine telah ditembak jatuh di ruang udara Moscow oleh pasukan pertahanan udara.




























