Sekurang-kurangnya 200 kanak-kanak terbunuh di Lubnan akibat serangan Israel yang berterusan sejak 2 Mac apabila pertempuran dengan Hizbullah dimulakan semula, lapor Al Jazeera memetik agensi kanak-kanak PBB.
UNICEF dilapor berkata, sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak terbunuh atau cedera di negara yang dilanda perang itu sepanjang minggu lalu sahaja walaupun terdapat “gencatan senjata”.
“Kanak-kanak di Lubnan terus berada di hujung keganasan, perpindahan, dan pendedahan kepada peristiwa traumatik yang berterusan,” agensi itu dilapor berkata dalam satu kenyataan.
Jumlah korban keseluruhan dalam kalangan kanak-kanak sejak 2 Mac telah mencecah 200 orang terbunuh dan 806 orang cedera – bersamaan dengan hampir 14 kanak-kanak terbunuh atau cedera setiap hari, katanya.
“Kanak-kanak terbunuh dan cedera sedangkan mereka sepatutnya kembali ke bilik darjah, bermain dengan rakan-rakan, dan pulih daripada ketakutan dan pergolakan selama berbulan-bulan,” kata UNICEF, seperti dilaporkan.




























