Perdana Menteri Latvia, Evika Silina, pada Khamis mengumumkan dia akan meletak jawatan selepas kerajaan gabungan tiga parti negara itu runtuh, menurut berita Xinhua.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas parti Progresif meminta Presiden Edgars Rinkevics untuk memulakan rundingan mengenai pembentukan kerajaan baharu, dengan mengatakan kabinet dipimpin oleh Silina kehilangan keupayaannya untuk berfungsi.
Parti itu dilapor berkata, situasi itu meninggalkan dua pilihan: peletakan jawatan perdana menteri atau undi keyakinan parlimen.
Berikutan perbincangan dengan Progresif pada Rabu, Silina dilapor berkata dia telah mencadangkan untuk meneruskan kerja gabungan itu, tetapi Progresif berkata gabungan yang dipimpin oleh Perpaduan Baharu tidak lagi mendapat sokongan mereka.
Kesatuan Hijau dan Petani juga berkata pada Rabu bahawa penarikan sokongan Progresif telah menjatuhkan kerajaan, sambil menambah bahawa kerajaan baharu akan memberi manfaat kepada negara.
Menurut Xinhua, ketegangan antara parti Perpaduan Baharu Silina dan Progresif memuncak selepas Silina memecat Menteri Pertahanan Andris Spruds, seorang ahli Progresif, Ahad lalu.
Pemecatan itu susulan insiden dron baru-baru ini di timur Latvia, di mana dua kenderaan udara tanpa pemandu asing terhempas ke sebuah kemudahan penyimpanan minyak dan merosakkan tangki minyak kosong.
Rinkevics dilapor berkata, dia merancang untuk bertemu wakil semua puak parlimen untuk membincangkan situasi politik semasa.
Menurutnya, Latvia memerlukan kerajaan yang berfungsi dengan sokongan parlimen walaupun pilihan raya parlimen hanya lima bulan lagi.




























