Sekatan dan amalan paksaan Israel terhadap penduduk Gaza semakin memperdalam keperluan kemanusiaan, termasuk untuk perkhidmatan psikososial, kata aktivis kemanusiaan PBB pada Selasa, menurut laporan Xinhua.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dilapor berkata, rakan kongsinya di Gaza, yang mengendalikan talian hotline bebas tol, melaporkan peningkatan sebanyak 14 peratus dalam sesi kaunseling jarak jauh antara Mac dan April tahun ini. Ia mengadakan lebih daripada 9,600 sesi bulan lalu.
“Peningkatan ini amat ketara untuk kes yang melibatkan idea bunuh diri, yang meningkat sebanyak 90 peratus,” OCHA dilapor sebagai berkata.
“Terdapat juga peningkatan sebanyak 46 peratus dalam kaunseling yang berkaitan dengan keganasan fizikal berasaskan jantina dan peningkatan sebanyak 34 peratus dalam kaunseling untuk kebimbangan dan ketakutan.”
Menurut Xinhua, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 43,000 orang mengalami kecederaan yang berpotensi mengubah hidup, termasuk kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak traumatik utama, luka terbakar utama dan amputasi anggota badan, dan sekitar 53,000 kecederaan memerlukan pemulihan lanjutan.
Satu daripada lima orang yang diamputasi adalah seorang kanak-kanak, katanya.
WHO dilapor berkata, walaupun ketersediaan perkhidmatan pemulihan bertambah baik sejak September 2025, kapasiti masih di bawah paras sebelum Oktober 2023.
Pada masa ini, tiada kemudahan pemulihan yang berfungsi sepenuhnya, dan lebih 400 pesakit berada dalam senarai menunggu untuk rawatan pesakit dalam khusus.





























