Mahkamah Israel menolak rayuan untuk pembebasan aktivis pro-Palestin yang ditahan, Thiago Avila dan Saif Abu Keshek, yang merupakan ahli flotila bantuan ke Gaza yang dirampas oleh tentera Israel baru-baru ini, menurut kumpulan hak asasi yang mewakili mereka, Adalah, lapor Al Jazeera.
Menurut Al Jazeera, Adalah dalam satu kenyataan berkata, Mahkamah Daerah Beersheba Israel mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu untuk melanjutkan penahanan Avila dan Abu Keshek, yang kedua-duanya sedang mogok lapar, hingga pagi Ahad.
“Adalah menegaskan bahawa keputusan ini menyalahi undang-undang dan tidak munasabah,” kata Adalah, sambil menambah bahawa aktivis terbabit ditahan dalam “pengasingan sepenuhnya di bawah syarat-syarat hukuman walaupun misi mereka bersifat awam semata-mata”.




























