Dua orang awam terbunuh dan seorang lagi cedera dalam pertempuran bersenjata berat yang meletus awal Sabtu di bandar Sorman, kira-kira 70 km barat ibu negara Libya, Tripoli, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Menurut Xinhua, datuk bandar Sorman, Mohsen Abu Senina dilapor memberitahu TV Al-Masar Libya bahawa bandar itu kini berada dalam keadaan berhati-hati dan agak tenang susulan pertempuran itu, selepas pasukan yang bersekutu dengan Kementerian Dalam Negeri Kerajaan Perpaduan Negara campur tangan untuk membendung keadaan dan menguatkuasakan gencatan senjata.
Menurutnya, pertempuran meletus di beberapa kawasan perumahan sebelum berkembang kemudian ke bahagian lain di bandar.
Xinhua melaporkan, menurut laporan media tempatan, konfrontasi bermula awal Jumaat susulan pertikaian bersenjata antara anasir yang dipercayai bersekutu dengan kumpulan bersenjata tempatan, sebelum meningkat pada pagi Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Universiti Zawiya mengumumkan penggantungan kelas dan peperiksaan disebabkan oleh ketegangan berterusan di jalan pesisir yang menghubungkan Zawiya dan Sorman.


























