Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh pada Isnin apabila sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan Luri di pinggir Juba, ibu negara Sudan Selatan, pihak berkuasa penerbangan mengesahkan, lapor Xinhua.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan Selatan (SSCAA) berkata, semua penumpang di dalam pesawat Cessna 208 Caravan, nombor pendaftaran 5Y-NOK, yang dikendalikan oleh CityLink Aviation Limited, maut dalam nahas itu.
“Terdapat 13 penumpang dan seorang juruterbang (kapten) di dalam pesawat. Antaranya ialah dua warga Kenya dan 12 warga Sudan Selatan. Malangnya, tiada mangsa yang terselamat,” SSCAA dilapor sebagai berkata dalam kenyataan.
Pengawal selia industri itu dilapor berkata, pesawat itu berlepas dari Yei dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Juba pada jam 9:15 pagi waktu tempatan (0715 GMT) dan terputus komunikasi pada jam 9:43 pagi waktu tempatan (0743 GMT).
Menurut SSCAA, siasatan awal menunjukkan bahawa pesawat itu mungkin terhempas disebabkan oleh keadaan cuaca buruk, terutama jarak penglihatan rendah.























