Pasukan Ukraine berjaya menyerang dua kapal tentera laut Rusia di luar pantai Crimea di Laut Hitam, kata kementerian pertahanan Ukraine pada Isnin, lapor Xinhua.
Kapal pendaratan besar Armada Laut Hitam Rusia, Project 775 Yamal dan Project 1171 Nikolai Filchenkov, telah diserang di Teluk Sevastopol oleh serangan dron dari pasukan khas Ukraine pada waktu malam antara Sabtu dan Ahad, kata Direktorat Perisikan Utama kementerian dalam satu kenyataan, menurut Xinhua.
Serangan itu melumpuhkan kedua-dua kapal Rusia yang digunakan dalam konflik dengan Ukraine, kenyataan itu dilapor berkata.
Dibina pada tahun 1988, Project 775 Yamal mampu membawa sehingga 500 tan kargo, termasuk kenderaan berperisai dan tentera.
Project 1171 Nikolai Filchenkov, yang direka untuk mengangkut sehingga 1,000 tan kargo, boleh membawa berpuluh-puluh kenderaan berperisai dan pasukan pendaratan yang besar.























