Iran sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan tol untuk kapal yang melalui Selat Hormuz, dan sedang berusaha untuk memastikan laluan yang selamat di perairan, kata duta Iran ke Rusia, Kazem Jalali, lapor Xinhua.
Dalam temu bual dengan akhbar Rusia, Vedomosti, yang diterbitkan pada Isnin, Jalali dilapor berkata butirannya masih belum dimuktamadkan, dengan menyatakan bahawa parlimen Iran sedang membangunkan pelbagai pilihan mengenai isu ini.
Jalali menambah bahawa Iran telah memaklumkan negara lain mengenai rangka kerja perundangan baharu yang mengawal laluan air strategik itu lebih awal, dan sejak 50 hari lalu, pihak berkuasa republik itu “telah menggariskan dengan jelas semua objektif dan isu mereka”.
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran dilapor berkata pada Sabtu bahawa Selat Hormuz telah disekat sejak petang Sabtu dan tidak akan dibuka sehingga Amerika Syarikat menarik balik sekatan tentera lautnya di laluan air itu.
IRGC dilapor berkata langkah itu diambil selepas Amerika Syarikat melanggar komitmennya di bawah gencatan senjata selama dua minggu, yang berkuat kuasa pada 8 April, dan gagal menamatkan sekatan tentera lautnya terhadap kapal dan pelabuhan Iran.























