Sebuah mahkamah di Nepal sedang menyiasat 32 orang atas tuduhan menipu berjuta-juta dolar daripada pelancong dengan menganjurkan penyelamatan palsu semasa perjalanan mereka ke Himalaya, menurut berita Anadolu memetik seorang pegawai memberitahunya.
Berdasarkan siasatan selama berbulan-bulan oleh Biro Siasatan Pusat (CIB), sayap siasatan khas di bawah Polis Nepal, pejabat peguam daerah awal minggu ini memfailkan kes di Mahkamah Daerah Kathmandu.
Pemilik agensi trekking terkemuka, syarikat helikopter dan pemilik hospital terjerat dalam penipuan ini.
Dipak Kumar Shrestha, jurucakap di Mahkamah Daerah Kathmandu, memberitahu Anadolu bahawa pegawai mahkamah sedang merekodkan kenyataan tertuduh. Sembilan suspek yang ditangkap telah dibawa ke mahkamah pada Ahad, manakala 23 yang lain melarikan diri.
Mukti Pandey dan Subash KC dari Everest Experience and Assistance P Ltd, Bibek Pandey dan Jay Ram Rival dari Mountain Rescue P Ltd dan Rabindra Adhikari dari Nepal Charter Services telah dibawa ke mahkamah, lapor Anadolu.
Agensi berita itu melaporkan, menurut jurucakap mahkamah, Shrestha Girban Raj Timalsina, pengendali Hospital Antarabangsa Shreedi, Sandip Raj Tiwari dari Royal Holidays Adventure, Pasang Sherpa dari Himalaya Trekking and Expedition dan Santosh Adhikari dari Flying Yak turut dihadapkan ke mahkamah.
Semua tertuduh terlibat dalam jenayah terancang. Siasatan polis menunjukkan agensi-agensi terbabit pernah memberi soda penaik kepada pelancong supaya mereka boleh jatuh sakit. Keuntungan yang diperoleh daripada penyelamatan palsu itu dikongsi antara pihak berkepentingan – hospital, agensi trekking, syarikat helikopter dan pemandu pelancong.
“Satu kertas pertuduhan telah difailkan di mahkamah,” kata Shrestha, sambil menambah: “Mahkamah sedang merekodkan kenyataan tertuduh, memberi keutamaan tinggi kepada kes rasuah ini.”
Pendakwa raya telah menuntut Rs 1.51 bilion (lebih $10 juta) daripada tertuduh. “Denda berbeza dari orang ke orang berdasarkan kesalahan mereka,” kata jurucakap itu, menurut Anadolu.
Pada Januari, CIB telah menahan enam eksekutif dari tiga agensi penyelamat gunung terkemuka kerana didakwa mengatur penyelamatan helikopter palsu pelancong asing. Mereka dituduh menggelapkan hampir 19.7 juta melalui penipuan insurans. Kemudian, pengendali hospital, juruterbang, dan pemilik agensi trekking juga terlibat dalam siasatan terbabit.
Anadolu melaporkan, agensi-agensi terbabit, menurut ketua CIB, Manoj KC, telah memaksa pendaki untuk bersetuju dengan pemindahan dan mengemukakan dokumen palsu untuk mengaut wang insurans sekiranya berlaku kecemasan menyelamat.
Siasatan polis menunjukkan agensi-agensi ini telah menipu sekurang-kurangnya $19.69 juta wang insurans daripada pelancong. Butiran yang diberikan oleh polis menunjukkan Mountain Rescue Service P Ltd telah menganjurkan 171 “penyelamatan yang mencurigakan” daripada jumlah 1,248 penyelamatan yang diaturkannya, menurut berita Anadolu, dengan mengatur operasi menyelamat palsu dengan kerjasama hospital, ia didakwa menipu lebih $10 juta.
Nepal Chapter Service P Ltd dituduh menipu $8.2 juta dan Everest Experience and Assistance mengaut $1.1 juta, lapor Anadolu.
Setiap tahun, beribu-ribu pendaki tiba di Nepal, sebuah negara pergunungan, untuk trekking. Tetapi syarikat trekking dan menyelamat didapati menipu mereka untuk mengaut wang insurans. Bimbang dengan kerugian mereka, beberapa syarikat insurans, termasuk Travellers Assists, telah berhenti menjual pakej insurans untuk pelancong yang melancong ke Nepal.
Pada 2018, kerajaan Nepal telah membentuk panel siasatan yang melibatkan birokrat. Laporan itu tidak didedahkan kepada umum, dan tindakan juga tidak diambil terhadap syarikat-syarikat penipuan. Selepas protes besar-besaran pada September tahun lalu, polis telah memulakan siasatan.























