Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu pegawai kanan AS bahawa sebarang perjanjian masa depan antara Washington dan Tehran tidak akan menghentikan perang Israel di Lubnan, lapor Anadolu memetik satu laporan pada Isnin.
Menurut Anadolu, akhbar harian Israel Hayom berkata Netanyahu menyampaikan mesej itu semasa rundingan tertutup baru-baru ini dengan pegawai kanan dalam pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Menurut akhbar itu, lapor Anadolu, Netanyahu berkata sebarang perjanjian yang dicapai antara AS dan Iran tidak akan terpakai kepada barisan hadapan Lubnan.
“Israel akan terus memanfaatkan peluang untuk menghapuskan Hizbullah walaupun terdapat perjanjian antara Trump dan pegawai Iran,” kata laporan itu.
Menurut Anadolu, akhbar itu juga berkata Netanyahu menolak cadangan Perancis untuk menghentikan perang menentang Hizbullah sebagai pertukaran untuk komitmen Presiden Perancis, Emmanuel Macron, untuk membantu menyelesaikan situasi itu.
Menurut laporan itu, Netanyahu percaya Israel kini mempunyai peluang untuk meningkatkan keadaan keselamatannya dengan ketara dengan menolak Hizbullah melangkaui Sungai Litani.
Seorang pegawai kanan Israel yang dipetik oleh akhbar itu berkata AS telah menerima pendirian Israel, lapor Anadolu.
“Lubnan tidak penting bagi Presiden Trump,” kata pegawai itu.
Israel telah menggempur Lubnan dengan serangan udara dan melancarkan serangan darat di selatan Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac lalu.
Pihak berkuasa Lubnan berkata sekurang-kurangnya 1,247 orang telah terbunuh dan 3,690 cedera dalam serangan Israel, menurut Anadolu.























