Sekurang-kurangnya tujuh orang lagi terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan, menurut berita Anadolu memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan pada Khamis.
Menurut Anadolu, agensi itu melaporkan serangan udara Israel ke atas pekan Abbassiyeh mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan yang lain, dengan menyatakan angka itu masih awal.
Ia menambah bahawa pesawat perang Israel telah menjalankan beberapa siri serangan udara ke atas beberapa pekan, termasuk Kafra, Jmaijmeh, Safad al-Battikh, Majdal Selm, Deir Antar dan kawasan sekitar jambatan Qasmiyeh.
Serangan itu dilakukan bersama-sama dengan tembakan artileri yang menyasarkan pekan Haris, kata laporan itu.
Pada Rabu, sekurang-kurangnya 254 orang terbunuh dan 1,165 yang lain cedera dalam serangan Israel di seluruh Lubnan, termasuk Beirut, menurut Pertahanan Awam Lubnan, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, jumlah kematian keseluruhan akibat serangan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac meningkat kepada 1,739 orang, dengan 5,873 orang lagi cedera.























