Sekurang-kurangnya lima mayat pendatang termasuk dua wanita telah dihanyutkan ke pantai di َQasr al-Akhyar, sebuah pekan pesisir di timur ibu kota Libya, Tripoli, lapor Reuters memetik seorang pegawai polis memberitahunya.
Menurut Reuters, Hassan Al-Ghawil, ketua siasatan di balai polis Qasr Al-Akhyar, berkata menurut penduduk di kawasan itu, mayat seorang kanak-kanak dihanyutkan ke pantai dan kerana ketinggian ombak, mayat itu kembali ke laut, dan pengawal pantai diminta untuk mencarinya.
Ghawil berkata, mayat-mayat itu semuanya berkulit gelap. Mayat-mayat itu ditemui di pantai Emhamid Al-Sharif di bahagian barat pekan itu oleh orang yang melaporkan ke balai polis.
Libya telah menjadi laluan transit bagi pendatang yang melarikan diri dari konflik dan kemiskinan ke Eropah merentasi Mediterranean sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011 dalam pemberontakan yang disokong NATO. Konflik puak telah memecahbelahkan negara kepada puak barat dan timur sejak 2014.
Qasr al-Akhyar ialah sebuah pekan pesisir kira-kira 73 kilometer (45 batu) di timur Tripoli.
Menurut Reuters, gambar-gambar telah disiarkan di internet, dan juga dilihat olehnya, menunjukkan mayat pendatang terbaring di pantai, di mana sesetengahnya masih berada di dalam pelampung penyelamat hitam.
Awal bulan ini, lima puluh tiga pendatang, termasuk dua bayi, telah mati atau hilang selepas sebuah bot getah yang membawa 55 orang terbalik di luar pantai pekan Zuwara di barat Tripoli, lapor Reuters memetik Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi.
Menurut Reuters, minggu lalu, satu laporan PBB mengatakan pendatang di Libya, termasuk gadis-gadis muda, berisiko dibunuh, diseksa, dirogol atau dijadikan hamba domestik, menyeru moratorium ke atas pemulangan bot pendatang ke negara itu sehingga hak asasi manusia dijamin.
















































