Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Sabtu mengumumkan penemuan lima mayat dari sebuah motorbot rekreasi yang hilang awal minggu ini di perairan luar wilayah Davao Oriental di selatan Filipina, menurut berita Xinhua.
Mayat-mayat itu ditemui di lokasi berasingan semasa operasi mencari dan menyelamat dijalankan, menurut Pengawal Pantai Daerah Tenggara Mindanao, dengan menyatakan salah satu mayat itu dikesan oleh pesawat pengawasan udara pada pagi Sabtu.
Sebelumnya, sebuah bot nelayan menemui empat mayat lain kira-kira 100 km di luar pantai pekan Sarangani.
PCG mengumumkan pada Selasa bahawa pasukannya menyelamatkan seorang kru lelaki dari bot yang hilang itu selepas dia bertahan selama hampir dua hari di laut.
Bot bermotor itu, yang digambarkan oleh pihak berkuasa sebagai bot rekreasi, membawa empat kru dan 11 penumpang. Ia dilaporkan hilang pada Isnin, mendorong pengawal pantai untuk mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat ke kawasan tempat ia terakhir dilihat.
Pihak berkuasa berkata operasi mencari masih dijalankan ketika mereka meneruskan usaha untuk menjejaki sembilan penumpang dan kru yang masih hilang.
















































