Empat orang terbunuh dan kemudahan tenaga utama rosak dalam gelombang besar serangan dron dan peluru berpandu Rusia yang baharu ke atas Ukraine semalaman, menurut berita Xinhua pada Sabtu.
Tiga orang terbunuh dan seorang masih hilang di bandar Dnipro di tengah Ukraine, di mana serangan melanda sebuah bangunan pangsapuri sembilan tingkat, Datuk Bandar Dnipro, Borys Filatov dilapor berkata.
Perdana Menteri Ukraine, Yulia Svyrydenko, dilapor berkata seorang lagi terbunuh di wilayah timur Kharkiv.
Kemudahan tenaga utama di wilayah Kharkiv, tengah Poltava, dan utara Kiev rosak, dia dilapor berkata.
Syarikat tenaga milik kerajaan, Ukrenergo, dilapor berkata ia telah mengenakan gangguan bekalan elektrik kecemasan di beberapa wilayah susulan serangan pada pagi Sabtu.
Pengendali gas milik kerajaan Ukraine, Naftogaz, dilapor berkata serangan itu menandakan serangan besar-besaran kesembilan ke atas infrastruktur gas negara itu sejak awal Oktober.
Serangan itu juga merosakkan kemudahan infrastruktur kereta api, menyebabkan kelewatan yang ketara dalam trafik kereta api di seluruh negara, syarikat kereta api kerajaan Ukraine, Ukrzaliznytsia dilapor berkata.
Tentera Udara Ukraine dilapor berkata Rusia telah melancarkan 458 dron dan 45 peluru berpandu ke Ukraine semalaman, di mana 406 dron dan sembilan peluru berpandu telah dipintas.
Xinhua melaporkan, Kementerian Pertahanan Rusia menyifatkan operasi itu sebagai “serangan besar-besaran” menggunakan senjata jarak jauh berketepatan tinggi dari udara, darat dan laut, termasuk peluru berpandu Kinzhal hipersonik dan dron tempur.
“Semua sasaran yang ditetapkan telah dilanda,” kementerian itu dilapor berkata pada Sabtu dalam satu kenyataan.
Sistem pertahanan udara Rusia menembak jatuh dua bom udara berpandu dan 178 dron sepanjang hari lalu, kementerian itu dilapor berkata.
















































