Sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel di Jalur Gaza sejak pagi Khamis, meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Pegawai kesihatan Palestin dilapor berkata, Israel menyasarkan khemah-khemah yang menempatkan orang terlantar, rumah dan sebuah sekolah di Gaza.
Di kawasan kejiranan Zeytun di bandar Gaza, empat orang terbunuh dan ramai yang cedera apabila sebuah gudang dan sebuah rumah diserang.
Di kawasan Mevasi di Khan Younis, serangan dron ke atas sebuah khemah mengorbankan empat rakyat Palestin, termasuk seorang wanita dan dua adik-beradik yang merupakan kanak-kanak.
Di Kem Pelarian Jabalia, seorang terbunuh dan lapan, termasuk kanak-kanak, cedera apabila sebuah sekolah yang melindungi orang terlantar diserang.
Juga dilaporkan di Beit Lahia, Deir al-Balah dan Kem Pelarian Bureij, terdapat korban dalam serangan yang menyasarkan khemah dan rumah.
Pesawat perang Israel juga melancarkan serangan udara berat di barat laut bandar Gaza dan kawasan timur Khan Younis, lapor Anadolu, di beberapa kawasan, amaran pemindahan telah dikeluarkan, menyebabkan panik dan gelombang perpindahan.
Kementerian Kesihatan Gaza dilapor berkata, walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, pelanggaran Israel masih berterusan, dengan 425 rakyat Palestin terbunuh dan 1,206 cedera dalam pelanggaran itu.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, dilapor berkata menyasarkan orang awam dan tempat perlindungan adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyediakan perlindungan segera kepada orang awam.

















































