Seorang pegawai polis terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pengeboman berani mati lewat Rabu di bandar Aleppo, utara Syria, lapor Anadolu memetik media kerajaan.
Serangan itu menyasarkan rondaan polis di kawasan Bab al-Faraj, menurut Anadolu memetik Agensi Berita Arab Syria (SANA).
Menurut Anadolu, televisyen Al-Ikhbariya, memetik sumber keselamatan, berkata penyerang itu meletupkan dirinya semasa diperiksa selepas menimbulkan syak wasangka.
Gabenor Aleppo, Azam al-Gharib dilapor berkata, kejadian itu berlaku semasa pasukan keselamatan dalaman menjalankan tugas untuk mengamankan sambutan Tahun Baru di bandar itu.
Menurut al-Gharib, anggota keselamatan mengenal pasti seorang suspek militan dan bertindak untuk menangkapnya. Semasa operasi itu, seorang pegawai berjaya menahan suspek secara fizikal, di mana penyerang itu meletupkan tali pinggang bahan letupan.

















































