Seorang terbunuh dan empat yang lain, termasuk seorang warga asing cedera dalam serangan dron semalaman ke atas bandar Taganrog, Rusia, kata gabenor wilayah Rostov, Yury Slyusar pada Sabtu, lapor Xinhua.
“Mangsa mengalami kecederaan parah. Menurut doktor, tiga berada dalam keadaan kritikal,” kata gabenor di Telegram.
Kemudahan komersial rosak dalam serangan itu dan kebakaran berlaku di gudang sebuah syarikat logistik, kata Slyusar, sambil menambah bahawa orang ramai telah dipindahkan dan kebakaran berjaya dikawal.
Selain itu, sebuah kapal komersial yang mengibarkan bendera asing rosak di perairan Teluk Taganrog akibat serpihan dron yang jatuh.
Menurut Xinhua, saluran media Ukraine Kyiv Independent melaporkan pasukan Ukraine menyerang dua perusahaan berkaitan pertahanan di Taganrog semalaman.























