Sekurang-kurangnya seorang cedera dan dua lagi hilang selepas sebuah bangunan 16 tingkat dalam pembinaan runtuh awal Jumaat di Nairobi, ibu negara Kenya, kata polis dan sebuah organisasi amal, menurut berita Xinhua.
Xinhua melaporkan, menurut polis dan Persatuan Palang Merah Kenya, tiada pekerja pembinaan di lokasi kejadian, yang berlaku di estet kediaman South C di selatan Nairobi.
Komander Polis Sub-Daerah Langata, Pius Mwanthi, dilapor berkata pasukan pelbagai agensi telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk menggali runtuhan dan menentukan sama ada terdapat lebih ramai mangsa.
Seorang lelaki, dipercayai pejalan kaki, cedera dalam kejadian itu dan dibawa ke hospital, kata Mwanthi, sambil menambah bahawa pihak berkuasa bimbang lebih ramai orang mungkin terperangkap di bawah runtuhan.
“Kami masih belum menemui pengawal yang bertugas. Terdapat dua pengawal yang bertugas yang tidak dapat dikenal pasti. Kami mempunyai pasukan mencari dan menyelamat di lapangan buat masa ini,” katanya.
Saksi dilapor berkata, bangunan itu runtuh sekitar jam 4 pagi waktu tempatan (0100 GMT).
“Kawasan itu telah dikepung sementara Unit Pengurusan Bencana Kebangsaan, Daerah Bandar Nairobi, Perkhidmatan Polis Kebangsaan dan Palang Merah Kenya meneruskan operasi mencari dan menyelamat,” kata Persatuan Palang Merah Kenya dalam satu catatan di X, menurut Xinhua.
Punca keruntuhan itu masih belum jelas, menurut Xinhua, bagaimanapun Kenya telah menyaksikan beberapa runtuhan bangunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pakar sering menyalahkan penguatkuasaan peraturan pembinaan yang lemah dan pemeriksaan yang tidak mencukupi oleh pihak berkuasa.
















































